Friday, 6 May 2022

Abah Tiba-Tiba Stabil

Kasih-Sayang Allah

    Selesai je adik lelaki solat giliran Ayong pulak pergi ke surau. Doktor masih belum keluar untuk kami bagitau yang setuju lakukan apa saja untuk selamatkan abah. Ayong ke tingkat atas. Menunaikan solat Isyak dan solat hajat untuk kesembuhan abah. Ingat lagi tak Ayong pernah alami gangguan agnostik dan masih belum sembuh. Ayong hanya teruskan hidup macam biasa. Walaupun sering diganggu dan gagal temukan kebenaran tapi Ayong tak boleh hidup tanpa Tuhan. Ayong perlukan Tuhan dan pada waktu tu hanya Allah saja yang Ayong ada.

    Walaupun masih rasa sesak waktu solat, tapi waktu tu keadaan lebih sesak memikirkan tentang abah. Dengan sepenuh perasaan Ayong berdoa, selamatkan abah. Allah saja tempat Ayong mengadu. Kebetulan hanya Ayong seorang saja di surau waktu tu. Jadi ruang dan keadaan digunakan sepenuhnya. Merintih semahunya dan kalau Allah nak gantikan sakit tu pada Ayong pun, Ayong terima asalkan abah dapat diselamatkan. Baru semalam Ayong cium tangan abah dan melambai masa pergi kerja. Ayong tak bersedia nak kehilangan abah.

    Selesainya solat Ayong gunakan tangga untuk turun ke pintu depan ICU yang kedudukannya tak jauh dari tangga. Ayong nampak ada seorang doktor baru beredar beberapa langkah dari adik lelaki dan masuk ke ICU. Ayong tengok adik lelaki. Adik bagitau Ayong jangan berhenti berdoa. Dia sambung lagi sambil tangannya menunjuk ke arah pintu ICU,  doktor baru je masuk dalam. Doktor kata keadaan abah tadi tenat sangat dan baru je pihak doktor nak maklumkan abah perlukan alat bantuan pernafasan segera, tapi abah tiba-tiba stabil. 

    Betul-betul rasa macam keajaiban. Rasa macam itulah berita paling gembira yang kami semua pernah dengar seumur hidup. Satu perasaan yang tak dapat digambarkan dengan apa cara sekalipun. Syukur kepada Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang yang telah memakbulkan doa-doa kami. Terus bagitau keluarga dan saudara-mara abah mengenai keadaan keadaan abah yang dah kembali stabil. Tak dilupakan kawan-kawan baik abah juga dimaklumkan mengenai keadaan abah.

Dan Tuhanmu berfirman,

“Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.” 

Surat Ghafir : Ayat 60



Pengawal Keselamatan Wanita

    Bila keadaan dah reda, Ayong dengan adik lelaki hanya duduk dan tidur di kerusi saja memandangkan dah jauh malam. Tak lama kemudian kami didekati seorang pengawal keselamatan wanita yang jaga depan ICU tu. Sebenarnya dia dah perhatikan kami lama dah. Dari dari awal masa ahli keluarga yang lain masih ada. Cuma dia tak tegur sebab dia dia nampak keadaan tak sesuai. Dia sekadar berbual. Bertanya tentang siapa di dalam dan bagaimana keadaanya. Sebenarnya dia dah tahu sedikit memandangkan dia bebas keluar masuk di situ.

    Dia ada cerita juga mengenai keadaan hospital.  Dia kata, komplikasi dan kesan sampingan tu tak semestinya akan berlaku. Tapi memang kewajipan seorang doktor untuk memaklumkan begitu kerana doktor adalah manusia biasa. Doktor hanya berusaha dan tak boleh beri jaminan 100% kerana selebihnya adalah kerja Allah. Maka sebab itulah doktor harus bagitau dengan cara sedemikian, menunjukkan ilmu perubatan tak mampu menandingi kehendak serta kekuasaan Allah. Barulah kami faham. Memang terbaik penerangan dia.

    Pengawal keselamatan tu pun ada memaklumkan yang dia dah tengok keadaan abah tadi. Semuanya baik-baik saja dan InshaAllah tak apa-apa. Dia sempat pesan supaya jaga kesihatan. Lepas tu dia ada cakap juga yang sebenarnya orang awam tak boleh berada di sini tapi disebabkan keadaan panik tadi maka dia biarkan saja kami menunggu. Mana taknya, bengkak gila mata masing-masing menangis dari tadi. Keesokkan harinya. kami sekeluarga bermalam berdekatan hospital saja. Pagi tu Ayong maklumkan pada boss untuk ambil cuti selama 2 hari.

    

No comments:

Post a Comment