Wednesday 30 March 2022

Aku Seorang Agnostik

(2017-2018)

Nyaris Murtad

    Individu yang mempunyai agama namun mereka hidup dengan meragui agamanya sendiri, mereka digelar sebagai Agnostik. Ya, itulah yang pernah dilalui Ayong satu masa dulu. Seorang muslim yang meragui kebenaran Islam serta kewujudan Allah SWT. Kerana ujian yang dilalui, Ayong nyaris murtad dan meninggalkan Islam. Pilihan Ayong hanya dua (2) iaitu memilih untuk menjadi Athies atau ikut agama Nai (bukan nama agama sebenar). Orang boleh kata;


"Kau susah macam mana pun, jangan keluar Islam."

"Fikir mak ayah...kesian diorang."

"Ingat la azab kalau keluar Islam, nak masuk neraka sampai bila-bila ke?" 


    Tapi orang sebegitu, langsung tak tanya masalah sebenar dan langsung tak cuba untuk bantu. Orang tak fikir bila seseorang muslim memilih untuk keluar Islam tu bukan kerana mereka tidak takutkan Allah. Tapi mereka yang hilang keyakinan. Dah tak yakin, dari mana datang rasa takut? Nak salahkan dia sape suruh tak yakin? Awak sendiri tak cukup ilmu untuk meyakinkan dia, awak cuma ada ilmu paksaan. Paksa orang lain untuk meyakini apa yang awak telah yakin bukan tindakan yang bijak, apetah lagi dilakukan dengan hati yang panas. Apa yang perlu kita lakukan ialah menghadapi mereka dengan menjawab segala persoalan berdasarkan kekeliruan mereka, bukannya mengikut logik kita. Yang diorang cuma pandai cakap,


"Awak ingat dengan awak keluar Islam, masalah tu boleh selesai?"


    Susah betul nak berkomunikasi dengan orang begini, memang masalah tak selesai tapi sekurang-kurangnya cuba bantu. Sudahlah tak boleh menjawab persoalan, nak bantu selesaikan masalah pun takde. Sudahlah serabut fikir masalah, kena marah dan maki lagi berbakul-bakul. Mereka ingat dengan marah tu boleh selamatkan akidah orang yang sedang keliru. Sepanjang Ayong mencari, tiada seorang pun manusia yang betul-betul ikhlas nak bantu orang macam Ayong dulu. Kebanyakkan jawapan yang diberi bercampur dengan hati yang panas. Akibatnya, orang seperti kami menjauhkan diri.


gambar : google

Ex-Muslim

    Setelah menghadapi pelbagai situasi buntu, Ayong akhirnya memilih untuk pendam dan mencari sendiri. Ayong ada kenal dengan beberapa orang ex-muslim berbangsa Melayu dan bertanya pengalaman mereka. Cara mereka menjawab jauh lebih baik dari muslim sebenar. Walaupun mereka berpegang teguh pada agama Nai, tak pernah mereka menghasut Ayong ikut agama mereka. Walaupun mereka Athies, tidak pernah mereka cuba meragukan Ayong mengenai Islam walaupun mereka tahu Ayong Agnostik. Sebenarnya antara kepercayai agama Nai dan kepercayaan Athies, Ayong lebih memilih jalan agama Nai. Ayong sedar, manusia perlukan Tuhan dalam  kehidupan mereka.


Penyelesaian

    Ayong pernah DM ustaz Firdaus Wong dan ustaz Ebit Lew di instagram. Walaupun tak berapa nak menjawab persoalan, tapi sekurang-kurangnya mereka menjawab dengan cara yang baik dan lemah-lembut. Tanpa marah-marah macam orang melayu yang lain. Ayong teruskan mencari di youtube mengenai perbandingan agama. Antara video yang kerap membincangkan tentang isu perbandingan agama di youtube ialah channel yang memaparkan keadaan di "Speaker Corner" di mana mereka yang berada di sana bebas bersuara apa sahaja mengenai pandangan masing-masing. Banyak pemidato dan wakil dari pelbagai kepercayaan menyebarkan ajaran mereka. Seronok juga Ayong melayan.

    Permulaannya Ayong hanya mencari kisah mengenai ex-muslim atau ex agama lain. Ayong hanya ingin tahu mengapa mereka keluar Islam dan mengapa yang lainnya pula kembali pada Islam. Ketika Ayong berada di jalan Agnostik, perbincangan di "Speaker Corner" menangguhkan keputusan Ayong seketika. Tanpa sedar, sedikit demi sedikit kepercayaan Ayong pada agama Nai berkurang. Ayong sedar tiada kebenaran dalam agama tersebut. Sama ada agama Nai atau Athies, keduanya adalah sesat. Tapi, masih saja Ayong seorang Agnostik kerana belum menemukan kebenaran dalam Islam. Namun begitu, Ayong tetap terus mencari kebenaran. Walaupun belum sepenuhnya yakin tapi hanya Islam yang Ayong cari. Ya, hanya Islam. 

Thursday 24 March 2022

Ujian Pandangan Manusia

Sumber foto : Google

    Sewaktu mengalami kesengsaraan ketika solat dan kekeliruan mimpi, Ayong ada juga ceritakan pada seseorang yang Ayong dah biasa mengadu masalah. Dia ni bukan la orang yang Ayong percaya yang dia akan memahami, cuma Ayong takde tempat lain nak mengadu. Kawan tu ada, tapi dengan ujian seberat ini Ayong rasa tak sesuai untuk ceritakan pada kawan-kawan yang lain. Takut nanti makin serabut pula jadinya. Sebenarnya Ayong tak ramai kawan. Maklum la, kan Ayong ni introvert. Jarang la orang introvert ni ada ramai kawan. Kenalan mungkin ramai, tapi sekadar kenalan saja. Dalam hal ni, hanya pada dua (2) orang saja yang Ayong luahkan.

 

Menghukum

    Macam biasalah kan, rasanya sesiapa yang baca tulisan ni pun dah boleh agak perkara ni akan jadi. Mimpi dan gangguan tu punca Ayong persoalkan banyak perkara. Tapi jika seseorang itu benar-benar faham situasi yang dialami Ayong dia takkan senang-senang jatuhkan hukum. Ayong bertanya sebab Ayong keliru. Ayong tanya betul ke Tuhan tu ada, macam mana nak buktikan Allah sebagai Tuhan? Tapi jawapan dia cuma jawapan tipikal yang Ayong sendiri dah lama tahu.

 

"Dah banyak perkara membuktikan kewujudan dan kekuasaan Allah, Allah itu berkuasa. Tengok saja sesekeliling dan awak akan nampak tanda-tanda kekuasaan Allah. Semua tu tak boleh dipersoalkan."

 

    Tapi macam mana nak tahu yang semua tu memang kuasa Allah? Bukan Tuhan lain? Ramai yang marah bila dengar soalan ni menyebabkan orang yang benar-benar ingin tahu rasa takut dan tak mahu bertanya lagi. Masa ni, baru Ayong faham kenapa non-muslim tak berani nak bertanya tentang Islam. Kenapa dia jawab macam biasa jawapan yang kita dengar. Atau lebih tepat lagi, tiada jawapan melainkan sekadar jawapan selamat untuk diri sendiri.

 

Semua tu kita dah belajar, kenapa pulak awak persoalkan?”

"Tak guna la belajar agama tapi benda macam ni pun tak faham"

“Sia-sia mak ayah awak hantar awak belajar agama”

"Itu semua ujian awak kena terima, orang lain lagi teruk."


    Jawapan selamat untuk diri sendiri bukan? Langsung tak menjawab persoalan. Sesiapa saja yang berdepan dengan Ayong masa tu, mungkin akan marah. Jawapan yang diberi cuma sebatas apa yang mereka percaya. Langsung tidak menghuraikan persoalan yang dilontarkan. Jika seseorang yang lebih teruk dugaannya bertanya, mungkin orang tu akan lebih sesat lagi bila berjumpa dengan orang macam ni. Untuk waktu sekarang, Ayong tau soalan Ayong tu salah dan jauh tersasar. Tapi pada waktu tu, memang keadaan Ayong macam tu. Ayong keliru kerana diuji begitu. Masa ni baru Ayong faham, mungkin beginilah proses yang dialami mereka yang seperti Ayong sebelum memilih untuk hidup tak bertuhan. Mungkin saja keadaan mereka lebih dahsyat lagi dan dugaan Ayong hanyalah secebis saja dari kisah mereka. 


Tambah Serabut

    Bila orang seperti Ayong persoalkan kekeliruan kami, manusia kebiasaannya lebih cenderung untuk mempersoalkan semula persoalan dari mereka. Ibarat soalan dijawab dengan soalan yang kononnya menyuruh kami berfikir tapi soalan yang dilontarkan tu sebenarnya tak kena pun. Keadaan seperti ni sebenarnya lebih kepada menganggap kami sengaja bertanya dan buat-buat tak faham. Soalan dijawab soalan hanyalah sesuai untuk mereka yang faham tapi berdegil dan sengaja bertanya hanya untuk provokasi. Bukannya untuk kami yang dah keliru dan makin keliru ni.

 

 “Awak nak keluar Islam ke? Sebab apa? Sebab awak nak kebebasan?”

“Awak rasa awak selamat ke kalau hidup tak bertuhan?”

"Hebat awak ni."

"Bukannya tak pernah belajar, awak faham cuma ego nak terima kenyataan."

"Habis tu apa agama awak sekarang?"

 

    Bukannya nak jawab persoalan, malah dipersoalkan lagi. Tak mengapa jika tak tahu, tapi jangan menambah persoalan orang yang sedia serabut. Ayong pernah kata,


 "Jangan la tambah persoalan kat saya lagi, kalau tak tahu cakap saja tak tahu. Dan kalau awak nak saya diam, awak pun kena diam. Bukannya makin bertimbun persoalan awak tanya saya." Dia jawab macam ni pula,

"Pasal agama awak nak suruh saya diam? Sorrylah...saya takkan diam kalau agama saya dihina. Sampai mati kena pertahankan"

Ayong cakap balik "Cara awak ni salah, awak bukan pertahankan tapi lebih pada buat orang makin serabut. Sebab orang macam awak la orang macam saya makin jauh dengan agama." Dia balas senang je.

"Pulak dah...hahahahahaha..."

"Kesian mak ayah awak..."

"Berat sangat ke ujian awak tu sampai awak kena jadi macam ni? Orang lain ada yang lagi susah kot. Tapi diorang takla sampai jadi macam awak ni."

"Sebab manusia ke awak jadi macam ni? Lemah betul iman."


    Akhirnya Ayong block je orang macam tu sebab makin serabut. Lama Ayong menyepi dan buat hal sendiri. Masa ni, Ayong cuma ada Ryn saja. Sebenarnya hubungan Ryn dengan kawan sebaya kami yang lain dah lama renggang. Biarlah kawan yang lain perli Ayong dengan dia. Yang penting Ayong tahu siapa yang selalu dengan Ayong. Selain Ryn, Ayong rapat dengan seorang lagi kawan masa belajar dulu. Bella namanya. Ryn dengan Bella tau kisah Ayong cuma kedua mereka ni tahu hanya selepas Ayong keluar dari situasi tu. Sebab kedua mereka bukan orang yang tepat untuk Ayong luahkan pada masa tu. Tapi rupanya, kedua manusia yang Ayong luahkan pun bukanlah orang yang tepat dan hiduplah Ayong sebagai Agnostik.


Friday 18 March 2022

Ujian Melalui Mimpi

Bukan nama yang sebenar


Melihat Tuhan

Disebabkan solat tidak dapat memberikan ketenangan pada Ayong, maka Ayong pun berdoa secara general. Lebih kurang begini la doanya.

"Ya tuhan, jika kau benar-benar wujud maka berikanlah aku tanda siapa dirimu supaya dapat aku kembali padamu. Ya Allah, aku mohon petunjuk dari-Mu"

Ayong masih mohon pada Allah kerana Ayong sangat keliru dan dalam masa yang sama masih takutkan Allah. Tapi tau tak Ayong mimpi apa malam tu? Ayong mimpi di angkat ke ruang langit dan Ayong nampak imej Ye (bukan nama sebanar) yang merupakan sembahan untuk penganut agama Nai (bukan nama agama sebenar). Imej Ye seolah melihat ke arah bumi dan mengawal bumi. Kemudian Ayong terjaga. Ayong masih tak dapat terima. Bagi Ayong, Allah adalah Tuhan yang Esa. Sambil menangis Ayong berdoa sekali lagi.

"Ya Allah, kurniakanlah aku petunjuk-Mu dan berikan aku tanda-tanda akan kewujudan-Mu. Kurniakanlah aku seseorang untuk membimbingku dan lindungilah aku dari kesesatan."

Tapi Ayong masih tak dapat jawapannya. Hari demi hari, solat Ayong tetap sama. Setiap hari setiap kali solat, Ayong perlu hadap sakit yang menyesakkan dada. 

 


Dunia Menjadi Huru-Hara

Tak cukup dengan satu mimpi, Ayong mimpi lagi di mana dunia menjadi huru-hara. Seluruh dunia menjadi kucar-kacir dan porak-peranda. Manusia saling melakukan pembunuhan dan tidak ada sedikitpun kedamaian di sana. Langsung tiada tempat untuk bersembunyi. Lari la ke mana saja pasti ada pertumpahan darah berlaku. Waktu ni, dalam keadaan takut Ayong ke mana saja ikut langkah kaki. Langkah demi langkah akhirnya Ayong sampai ke hutan.

Entah bagaimana ketika masuk ke hutan, secara tak langsung Ayong termasuk ke rumah Ur, iaitu rumah ibadat penganut agama Nai. Dalam tu tenang sahaja. Mereka meraikan Ayong dan memberi jaminan Ayong akan selamat selama Ayong berada di sana kerana sesungguhnya itulah jalan kebenaran. Setelah berasa selamat akhirnya Ayong terjaga dari mimpi dan macam biasa Ayong mesti fikir semula mimpi tadi dengan linangan airmata.



Lemas Di Pantai

Sebagai seorang penderita Thalassophobia, lemas adalah perkara yang paling menakutkan. Suatu hari Ayong mimpi lemas di pantai berhadapan dengan pulau. Tiada sesiapa di sana melainkan Ayong seorang diri terkapai-kapai meminta tolong. Namun dalam keadaan sendiri, siapakah yang dapat menolong? Masa tu Ayong cuma fikirkan itu adalah mimpi dan berharap boleh segera keluar dari mimpi tersebut.

Di kejauhan, Ayong ternampak imej Ye sedang berdiri di pinggir pulau. Ye melihat Ayong yang sedang tenggelam. Hanya Ye sahaja yang ada di sana untuk membantu Ayong. Tanpa berlengah, Ayong memohon pertolongan Ye. Tiba-tiba muncul jambatan di tengah pulau dan mengangkat Ayong secara tiba-tiba ke atas jambatan tersebut. Ayong melihat Ye dan terdetik di dalam hati, adakah dengan memilih Ye sebagai Tuhan maka Ayong benar-benar akan selamat? Ye melihat Ayong seolah membenarkan kata hati Ayong. 


 


Saturday 12 March 2022

Ujian Ketika Solat

   Solat merupakan kewajipan bagi umat Islam. Solat juga salah satu cara untuk lebih dekat dengan Pencipta dan mampu memberi kedamaian hati pada mereka yang menunaikannya. Ketika solat dikatakan mampu memberi kedamaian kepada kita, berbeza pula dengan Ayong. Setiap kali menunaikan solat Ayong akan merasakan kesakitan dan kesengsaraan yang sehingga kini tidak tahu puncanya. Cuma yang Ayong tahu, bukan Ayong saja yang pernah merasainya. Kata mereka, ianya adalah gangguan cemas atau dipanggil Anxiety. Yang peliknya, kenapa berlaku setiap kali nak solat? Sehingga sekarang masih tiada jawapan. 

Tetap solat macam biasa


Sukar Bernafas

    Pernah tak melalui keadaan sukar untuk bernafas? Apa rasanya? Sesiapa saja yang pernah merasai kesengsaraan sukar bernafas pasti faham situasi begini. Nafas rasa terlalu pendek dan berat untuk mengambil nafas. Yang anehnya, sukar bernafas ni cuma dialami sewaktu sedang solat sahaja. Selesai saja solat, nafas kembali normal dan elok je boleh bernafas macam biasa. Aneh kan? Inilah salah satu punca Ayong menjadi Agnostik. Ayong tak tahu nak cerita kat sape. Sebab bila Ayong nak buka cerita, jawapan mereka cuma perasaan Ayong saja. Padahal rasa sukar bernafas tu bukan rasa macam hidung tersumbat. Tapi rasa macam nak mati pun ada. 


Semput & Keletihan

    Rasa sakit bermula setiap kali mengangkat takbir. Selesai saja "Allahuakbar" terus dada rasa sempit, semput dan sesak. Berkali Ayong tarik nafas sedalam yang boleh. Orang kata macam mengeluh sewaktu solat. Tapi hakikatnya Ayong mengambil nafas yang terasa pendek. Masa solat ni, rasa letihnya lain macam. Rasa macam pergi mendaki bukit pun tak letih macam tu. Rasa sukarnya solat waktu tu. Pernah beberapa kali Ayong berhenti di pertengahan solat sebab tak tahan. Berjuang menyedut nafas yang tersangkut waktu solat tu memang menyeksakan dan yang anehnya bila berhenti solat keadaan Ayong normal je macam tak sakit apa.


Sunday 6 March 2022

Ujian Agnostik

2017


   Hidup memang tidak pernah sunyi dari ujian dan dugaan. Apa yang dilalui kita selepas ujian adalah ujian. Saat diuji, kita tak sedar pun bila ujian ni bermula. Tanpa kita sedar kaki yang melangkah luka berdarah dek terpijak duri di jalanan. Begitu juga Ayong, entah sejak bila datangnya kesakitan waktu menunaikan solat. Sering dapat mimipi yang pelik-pelik. Mimpi ni tentang keraguan dalam beragama. Ya, memang benar mimpi itu mainan tidur dan senjata syaitan untuk menyesatkan manusia. Tapi dengan gangguan dan kesakitan yang datang ketika sedar, apa lagi fikiran yang timbul melainkan keraguan pada agama sendiri?

    Bukan tak cuba perbaiki keadaan. Bertanya sudah, menghadiri majlis ilmu untuk lebih mengenal Pencipta juga sudah. Tapi bukannya makin baik malah makin keliru. Diuji dengan hal begini bukanlah perkara yang mudah. Kita bertanya kerana keliru, tapi bukan jawapan yang diterima malah persoalan dan kejian lagi yang datang. Mereka menganggap kekeliruan yang Ayong tanyakan adalah sengaja semata-mata untuk mempersoalkan kekuasaan Allah. Lalu pada siapa harus diluah kesakitan ni? Pada Sang Pencipta telah diluahkan sehabisnya namun akibatnya lebih sakit lagi. Kesakitan itulah yang menyebabkan Ayong menjadi seorang Agnostik.

    Untuk pengetahuan semua, Ayong jadi Agnostik bukan disebabkan tidak faham agama atau jauh dari agama. Ujian menjadi seorang Agnostik merupakan hal yang paling berat pernah Ayong lalui. Menjadi seorang Agnostik adalah hal yang tidak disengajakan disebabkan gangguan-gangguan yang Ayong alami secara sedar dan tidak sedar. Antara gangguan tersebut adalah :

  1. Ujian Ketika Solat
  2. Ujian Melalui Mimpi
  3. Ujian Pandangan Manusia

Tiga (3) perkara inilah yang menjadikan diri Ayong sebagai "Aku Seorang Agnostik".