Monday 30 May 2022

Nak Jaga Abah

Berhenti Kerja

    Disebabkan Ayong bergantung dengan abah untuk kemana-mana, di Ayong terpaksa berhenti kerja. Ayong bercadang untuk kerja di kedai-kedai berdekatan rumah saja. Memang bos ada bagi cadangan supaya Ayong ditukarkan ke cawangan yang lebih dekat tapi Ayong menolak sebab taknak susahkan pekerja lain yang perlu gantikan tempat Ayong di sana. Tapi masa perbincangan awal, memang Ayong yang tawarkan diri nak jaga abah sebelum mak berubah fikiran untuk jaga abah. Hampir 2 bulan guna grabcar kadang-kadang mak terpaksa tinggalkan abah untuk hantar dan ambil Ayong  balik kerja. Lepas berhenti kerja dan 3 bulan tanam anggur yang tiada hasil akhirnya Ayong bekerja di pasaraya berdekatan rumah.



Berhenti Belajar

    Sebenarnya sejak abah di hospital lagi adik lelaki dah buat keputusan untuk berhenti belajar. Takde sesiapapun yang suruh dia berhenti malah kami sekeluarga semua memang tak bagi dia berhenti. Tapi adik kata, dia satu-satunya anak lelaki dan itu memang tanggungjawab dia. Pusing la ikut celah mana pun, tetap tanggungjawab dia. Dia juga wali Ayong sekarang. Dia kata tak guna belajar tinggi-tinggi tapi tanggungjawab kat abah tak dapat ditunaikan. Dia dah nekad dan kami pun tak boleh buat apa-apa. Lepas selesai segala urusan berhenti belajar, adik ambil lesen kereta dan cari kerja di Nilai juga. Sejak dia berhenti belajar sehingga la sekarang dia masih setia bekerja di tempat yang sama.

Tuesday 24 May 2022

Putuskan Hubungan

    

    Sekitar 2 bulan rasanya Ayong menyepi dari Baituljannah. Yang mana dah agak jauh berta'aruf, Ayong bagitau baik-baik. Ada juga yang Ayong biarkan, terus diam tanpa kata apa-apa. Ayong akui perbuatan tu salah. Ya...memang salah Ayong. Mudah-mudahan sesiapa saja yang pernah rasa kecewa dengan Ayong, semoga mereka jumpa jodoh yang terbaik. Seseungguhnya Ayong tak sengaja. Keadaan masa tu serabut. Terlalu banyak dalam fikiran sampai Ayong tak tahu nak dahulukan yang mana.

    Tapi ada seorang yang Ayong masih ingat sampai sekarang. Lelaki tu orang Perak juga tapi lupa daerah mana. Ayong tak sempat nak jumpa dia kat luar sebab kami tak ta'aruf sampai habis. Ayong ingat lagi gambar yang dia guna. Dia letak gambar dia pakai baju melayu berwarna ungu, berkopiah putih dan berkaca mata orangnya. Wajahnya pulak kurang ingat. Rasa macam ingat-ingat lupa tapi tak tahu la. Nama memang konfem la dah lupa. Tapi Ayong masih ingat bagaimana ayat yang Ayong bagitau dia dan dia terima dengan baik. 

"Awak, saya minta maaf sebab tak dapat teruskan perkenalan kita. Ayah saya tiba-tiba sakit, dia lumpuh sekarang. Saya rasa saya tak bersedia lagi nak fikirkan pasal rumahtangga. Saya nak jaga ayah saya dulu."

    Sekejap saja responnya. Dia faham dengan baik apa yang Ayong sampaikan tanpa banyak soal. Salah satu sebab Ayong ingat kat dia mungkin sebab niat. Dia cakap niat dia dalam Baituljannah ni memang untuk cari jodoh. Dia taknak kenal ramai-ramai dan berkenalan dulu sebab dia taknak buang masa orang lain. Kalau boleh dia kenal seorang saja dah cukup. Kalau tak sesuai baru dia cari yang lain. Mungkin sebab itu juga la Ayong sentiasa ingat dia untuk jelaskan keadaan Ayong supaya dia tak terus tunggu Ayong.

Wednesday 18 May 2022

Usaha Bawa Abah Balik

Perlu Ada Peralatan

    Abah masuk hospital pada awal bulan April 2018 dan dibenarkan discaj pada penghujung April 2018. Masa ni agak susah juga nak bawak abah balik. Sebab pihak hospital nak pastikan kelengkapan di rumah cukup untuk pantau abah memandangkan keadaan tahap kesedaran abah masih belum pulih sepenuhnya. Abah masih belum boleh makan dan minum seperti biasa. Sewaktu abah keluar dari hospital, abah masih menggunakan tiub untuk mengisi perut. Di antara peralatan yang perlu ada di rumah adalah katil hospital, kerusi roda, alat untuk suntik insulin, alat untuk periksa tekanan jantung serta alat untuk periksa kadar gula dalam darah dan seumpanya. Nak taknak kena usahakan demi untuk bawa abah pulang.


Beli Katil Hospital

    Satu hal yang paling mencabar adalah katil hospital untuk abah. Katil hospital ni la yang membuatkan urusan untuk discajkan abah jadi tertangguh. Salah satu yang menjadikan hal  ni mencabar ialah masalah penghantaran. Memang sepatutnya pihak kedai yang uruskan memandangkan dia jual katil. Tapi yang jadi masalah bila pengurusan kedai ntah apa-apa. Katil hospital bukan katil yang ringan. Boleh pula penghantar tu datang dengan seorang budak kecik lingkungan usia 8 tahun macam tu la. Bila dia tengok rumah Ayong flat tingkat satu, dia minta kami carikan orang untuk angkat katil tu. Bila kami cakap sepatutnya pihak encik yang sediakan semua tu. Dia buat muka tak bersalah kata pada mak sambil ketawa.

"Saya tak tahu pulak ni rumah flat, biasanya saya hantar rumah teres hahahaha."

    Dia ingat kelakar ke? Ayong memang bengang dah masa tu. Dia dah la buat penghantaran untuk barang berat. Boleh datang dengan budak kecik umur 8 tahun? Apa benda? Masa ni cuma Ayong berdua je dengan mak. Ayong memang tak boleh kalau orang main-mainkan mak. Ayong mintak dia tunjukkan alamat rumah Ayong. Sambil tegaskan suara Ayong tunjuk alamat tu depan muka dia dan terus Ayong sound dia.

"Cuba awak tengok alamat ni betul-betul. Blok A-1-1. Terang-terang alamat rumah ni rumah blok, ni kalau budak sekolah tengok diorang pun tau ni rumah blok. Takkan awak tak tengok betul-betul sebelum datang?"

    Dia yang tadinya masih tersisa dengan ketawa yang macam kelakar sangat, berubah terus airmuka dia. Ayong bukan nak sound dia sangat tapi siapa suruh dia ketawa seolah-olah hal tu melucukan dan macam tiada salah apa-apa. Dah buat salah minta maaf jela kan. Orang beli katil tu bukan saja-saja. Orang dah la tengah runsing, dia pulak buat kerja sambil lewa. Mak banyak kali ungkit, datang dengan budak, datang dengan budak. Lepas tu dia acah-acah nak tengok kawasan dan cakap nanti dia datang balik sementara nak cari orang tolong angkat. Ayong dengan mak dah boleh agak yang dia memang takkan datang balik. Tiba-tiba adik perempuan call merayu minta carikan sesiapa yang boleh tolong angkat katil sebab nak bawa abah balik.


Mengadu Kat Isteri

    Rupanya dia mengadu kat isteri dia. Isteri dia owner kedai barangan hospital tu. Isteri dia mengamuk kat adik perempuan. Isteri dia bagitau yang suami dia tak tahu yang rumah tu rumah flat tapi Ayong kurang-ajar dengan suami dia. Padahal suami dia yang buat-buat kelakar. Ayong mana boleh kalau orang permainkan mak. Memang masa tu jugak Ayong balas balik. Adik cerita owner tu kedai tu jerit kat dia. Dia kata dia selama ni dia buat penghantaran untuk katil hospital, pelanggan yang cari sendiri orang untuk angkat katil tu, tak pernah lagi pelanggan suruh pihak dia yang sediakan orang.  Dia mengamuk kat adik dia cakap kalau kami tak cari orang dia refund je duit. Sebab tu adik merayu kat Ayong dengan mak untuk cari orang.

    Lepas je kami dah jumpa orang, adik bagitau la kat owner. Dia cakap suami dia balik. Nada suara dia masih mengamuk, dia kata kakak awak kurang ajar dengan suami saya. Hek eleh...cara dia cakap pun angkuh dan sombong. Tak mengakui kesalahan sendiri. Lepas adik cakap takpe la kalau tak dapat refund saja duit. Lepas owner tu setuju nak refund terus dia letak telefon. Adik dah la tengah pregnant dan memang sensetif. Terpinga-pinga dia menahan airmata sebab kena tengking dengan owner kedai. Macam tu meniaga? Buat servis separuh jalan sebab tak sangka rumah pelanggan rumah flat. Salah siapa? Bila kena tegur dengan pelanggan dia mengamuk. Bengang la tu orang jentik suami dia. Padahal suami dia yang ntah apa-apa.


Tawakal Cari Kat Internet

    Tak lama lepas tamat perbualan, adik berusaha cari katil hospital di internet. Pagi esoknya dia jumpa dan tawakal je masa buat bayaran. Dah la masih belum dapat refund. Tapi untuk abah, dia bayar je. Syarikat tu cakap dia akan buat penghantaran pada keesokkan hari. Pada hari yang sama owner kedai yang mengamuk semalam wasap adik macam takde apa-apa berlaku. Dia cakap hari ni ada orang boleh angkat katil, kalau nak hari ni juga suami dia dan pekerja dia boleh datang hantar. Tapi adik tolak. Adik cakap semalam owner sendiri yang cakap nak refund dan kedua belah pihak setuju. Owner sendiri yang tawarkan untuk refund jadi rasanya memang dah cancel la dan tak perlu dibincangkan lagi. Lepas tu owner tak reply pun.

   Keesokkannya, syarikat penghantaran katil hospital datang seperti yang mereka jadualkan. Alhamdulillah, bukan scammer dan Allah permudahkan. Syarikat tu buat penghantaran dari Cheras ke Nilai. Datang dengan 3 orang muda. Layanan pun sangat memuaskan. Hari ni bayar, esok dapat. Memang rezeki syarikat tu sebenarnya. Petang tu adik wasap owner kedai yang mengamuk tu memandangkan masih belum terima refund. Adik cakap dah lebih 24 jam owner cakap nak refund tapi sampai sekarang masih belum refund. Owner tak banyak bunyi, owner terus send gambar transaksi menunjukkan dia dah refund. Tengok pada transaksi tu memang dia baru je refund. 


Sewa Ambulance

    Lepas tu semua selesai tinggal satu perkara je lagi yang perlu di buat. Memandangkan tahap kesedaran abah masih belum pulih, jadi abah tak boleh berjalan jauh. Doktor nasihatkan abah perlu dibawa pulang dengan ambulance. Tapi nak cari ambulance tak susah macam nak dapatkan katil. Alhamdulillah, dapat juga kami discajkan abah dari hospital. Setibanya di rumah ada budak-budak sekolah tengah lepak kat bawah flat, driver ambulance minta tolong mereka saja yang tolong angkat abah. Berat abah tak la seberat katil hospital. Kalau budak-budak sekolah tu takde, driver dengan adik lelaki pun boleh angkat abah. Tak lupa untuk maklumkan pada semua saudara-mara dan kawan-kawan abah.

Thursday 12 May 2022

Abah Semakin Pulih


 Seminggu Dalam ICU

    Ayong tak ingat berapa lama dalam ICU. Tapi sekitar seminggu lebih jugak la abah dalam tu. Kami sekeluarga berulang setiap hari dari rumah di Nilai ke hospital Seremban sebab masih tak dibenarkan bermalam di hospital memandangkan masih dalam ICU. Untuk pelawat pun sebab cuma 2 orang je yang dibenarkan masuk ke dalam. Pihak hospital taknak ramai-ramai dalam tu dan Ayong rasa mana-mana hospital pun sama je. Abah Masa ni abah dah stabil cuma masih belum sedar sepenuhnya. Kami datang pun abah tidur saja.

    Tak putus-putus orang melawat abah. Setiap hari ada je yang datang. Salah seorang kawan abah ada nasihatkan adik lelaki supaya amalkan beberapa ayat dan doa yang mereka pernah belajar dulu. Sebenarnya adik lelaki selalu ikut abah pergi kuliah dan sebab itulah kawan-kawan abah boleh rapat dengan adik. Buku amalan tu memang ada kat rumah. Adik ada bagitau abah pernah ajar dia amalkan ayat dan doa tu. Setiap hari sebelum pelawat lain datang adik lelaki akan duduk sebelah abah sambil amalkan ayat dan doa tersebut tanpa jemu.


Jiran Sebelah

    Disebabkan adik terlalu kusyuk setiap hari bacakan doa sebelah abah, dia tak perasan rupanya waris katil sebelah selalu perhatikan dia. Seorang isteri yang setia di sisi suami, menunggu saatnya si suami yang telah lama koma membuka mata. Anak-anaknya masih kecil lagi. Ayong tak pasti berapa lama suami dia dalam ICU tapi yang pastinya memang dia lebih awal dari abah. Dia nampak keadaan abah yang semakin pulih lepas adik lelaki amalkan bacaaan doa dan beberapa ayat. Dia bertanyakan kepada adik mengenai amalan tersebut.

    Adik lelaki ada beritahu kami yang dia serba-salah nak bagi. Sebab amalan yang diamalkan tu sebenarnya bersanad. Siapa yang faham tentang sanad pasti akan faham maksudnya. Kata adik, dia boleh bacakan ayat tersebut pada pesakit tetapi tak boleh diberi keseluruhan kerana ianya bersanad. Tapi adik ada juga beri beberapa potong ayat dan doa yang dia amalkan pada abah. Namun Allah lebih mengetahui, suaminya meningggal dunia pada keesokkan harinya. Tak diketahui sama-ada si isteri sempat membacakan ayat yang diberikan.


Pindah Ke Wad

    Sekitar seminggu lebih abah dikeluarkan dari ICU dan ditempatkan di wad lain. Dalam wad tu pihak hospital membenarkan seorang waris untuk berada bersama pesakit. Masa ni mestilah mak yang setia bermalam di sisi katil abah sementara adik lelaki dan Ayong berulang-alik menggunakan KTM dan grabcar setiap pagi dan pulang pada sebelah petang. Kalau tak silap Ayong adik perempuan pernah bermalam satu kali di hospital. Kami memang tak galakkan dia tunggu abah memandangkan keadaannya yang sarat mengandungkan anak pertamanya. 

    Masa ni adik lelaki belum ada lesen lagi. Hanya mak saja yang boleh saja kereta. Kadang-kadang kami minta tolong ibu saudara sebelah abah jika ada keperluan yang perlu dibawa. Adik lelaki masih belajar dan lepas adik balik ke kampus mak la yang selalu bermalam di hospital. Hujung minggu Ayong pula gantikan tempat mak. Dalam seminggu hanya 2 kali saja Ayong bermalam. Adik lelaki nekad berhenti belajar. Sementara dalam proses berhenti dia ada juga bermalam di hospital, waktunya hujung minggu juga.

Friday 6 May 2022

Abah Tiba-Tiba Stabil

Kasih-Sayang Allah

    Selesai je adik lelaki solat giliran Ayong pulak pergi ke surau. Doktor masih belum keluar untuk kami bagitau yang setuju lakukan apa saja untuk selamatkan abah. Ayong ke tingkat atas. Menunaikan solat Isyak dan solat hajat untuk kesembuhan abah. Ingat lagi tak Ayong pernah alami gangguan agnostik dan masih belum sembuh. Ayong hanya teruskan hidup macam biasa. Walaupun sering diganggu dan gagal temukan kebenaran tapi Ayong tak boleh hidup tanpa Tuhan. Ayong perlukan Tuhan dan pada waktu tu hanya Allah saja yang Ayong ada.

    Walaupun masih rasa sesak waktu solat, tapi waktu tu keadaan lebih sesak memikirkan tentang abah. Dengan sepenuh perasaan Ayong berdoa, selamatkan abah. Allah saja tempat Ayong mengadu. Kebetulan hanya Ayong seorang saja di surau waktu tu. Jadi ruang dan keadaan digunakan sepenuhnya. Merintih semahunya dan kalau Allah nak gantikan sakit tu pada Ayong pun, Ayong terima asalkan abah dapat diselamatkan. Baru semalam Ayong cium tangan abah dan melambai masa pergi kerja. Ayong tak bersedia nak kehilangan abah.

    Selesainya solat Ayong gunakan tangga untuk turun ke pintu depan ICU yang kedudukannya tak jauh dari tangga. Ayong nampak ada seorang doktor baru beredar beberapa langkah dari adik lelaki dan masuk ke ICU. Ayong tengok adik lelaki. Adik bagitau Ayong jangan berhenti berdoa. Dia sambung lagi sambil tangannya menunjuk ke arah pintu ICU,  doktor baru je masuk dalam. Doktor kata keadaan abah tadi tenat sangat dan baru je pihak doktor nak maklumkan abah perlukan alat bantuan pernafasan segera, tapi abah tiba-tiba stabil. 

    Betul-betul rasa macam keajaiban. Rasa macam itulah berita paling gembira yang kami semua pernah dengar seumur hidup. Satu perasaan yang tak dapat digambarkan dengan apa cara sekalipun. Syukur kepada Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang yang telah memakbulkan doa-doa kami. Terus bagitau keluarga dan saudara-mara abah mengenai keadaan keadaan abah yang dah kembali stabil. Tak dilupakan kawan-kawan baik abah juga dimaklumkan mengenai keadaan abah.

Dan Tuhanmu berfirman,

“Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.” 

Surat Ghafir : Ayat 60



Pengawal Keselamatan Wanita

    Bila keadaan dah reda, Ayong dengan adik lelaki hanya duduk dan tidur di kerusi saja memandangkan dah jauh malam. Tak lama kemudian kami didekati seorang pengawal keselamatan wanita yang jaga depan ICU tu. Sebenarnya dia dah perhatikan kami lama dah. Dari dari awal masa ahli keluarga yang lain masih ada. Cuma dia tak tegur sebab dia dia nampak keadaan tak sesuai. Dia sekadar berbual. Bertanya tentang siapa di dalam dan bagaimana keadaanya. Sebenarnya dia dah tahu sedikit memandangkan dia bebas keluar masuk di situ.

    Dia ada cerita juga mengenai keadaan hospital.  Dia kata, komplikasi dan kesan sampingan tu tak semestinya akan berlaku. Tapi memang kewajipan seorang doktor untuk memaklumkan begitu kerana doktor adalah manusia biasa. Doktor hanya berusaha dan tak boleh beri jaminan 100% kerana selebihnya adalah kerja Allah. Maka sebab itulah doktor harus bagitau dengan cara sedemikian, menunjukkan ilmu perubatan tak mampu menandingi kehendak serta kekuasaan Allah. Barulah kami faham. Memang terbaik penerangan dia.

    Pengawal keselamatan tu pun ada memaklumkan yang dia dah tengok keadaan abah tadi. Semuanya baik-baik saja dan InshaAllah tak apa-apa. Dia sempat pesan supaya jaga kesihatan. Lepas tu dia ada cakap juga yang sebenarnya orang awam tak boleh berada di sini tapi disebabkan keadaan panik tadi maka dia biarkan saja kami menunggu. Mana taknya, bengkak gila mata masing-masing menangis dari tadi. Keesokkan harinya. kami sekeluarga bermalam berdekatan hospital saja. Pagi tu Ayong maklumkan pada boss untuk ambil cuti selama 2 hari.