Friday 30 December 2022

Masalah

Keluar

    Setelah difikir-fikir, Ayong pun terima la tawaran untuk uruskan homestay dengan Wak. Pasal kapten tu Ayong dah lama tak dengar khabar. Kata Wak dia ke Sabah. Buat apa ke Sabah Ayong tak tanya cuma yang Ayong tahu, isteri kedua kapten tu duduk Sabah. Jadi kapten ke Sabah jumpa isteri la kot? Ayong taknak mempengaruhi keputusan dia. Ayong taknak nanti bila Ayong baik dengan dia, nanti dia rasa takde masalah nak lepaskan isteri dia sebab dia ada pengganti. Jadi Ayong senyapkan diri. Apa-apa Ayong cuma berhubung dengan Wak je.

    Satu hari tu Wak kata kapten nak ajak keluar makan. Ayong cakap okay je yang penting Wak kena ada sekali. Ayong suruh Wak bawak isteri dia sekali sebab Ayong dah lama tak jumpa dia. Kitorang naik satu kereta. Kapten bawak vellfire. Masa Ayong bukak pintu belakang Ayong nampak ada perempuan muda duduk kat kerusi belakang. Wak terus cakap ni isteri dia. Allahu, Wak dah ada isteri nombor rupanya. Kapten bawak pergi makan kat Putrajaya. Lepas makan, Wak dengan isteri dia hilang entah dating kat celah mana.

    Selambe badak je tinggalkan Ayong berdua dengan kapten. Kapten ni  asyik cakap pasal bisnes. Suruh Ayong buat tu suruh Ayong buat ni. Asyik tanya Ayong minat apa. Ayong banyak kali cakap Ayong tak minat apa-apa. Ayong cuma suka menulis. Pastu dia suruh Ayong tulis buku pasal tokoh-tokoh ternama. Hadoiii la, dia ni kalau bercakap nak ikut kepala hotak dia je. Patut la isteri nombor 2 tak tahan. Dia memang ada bakat semulajadi untuk mengawal kehidupan pasangan dia. Ayong memang dah mula rimas dah ni.


Tawaran

    Ayong dengan Wak pun berjumpa untuk bincang pasal pengurusan homestay. Pasal kos, keperluan gaji masing-masing dan sebagainya. Kalau ikutkan Ayong dah setuju dah sebelum balik tu. Wak belanja KFC untuk makan situ dan dibawa pulang. Betul-betul takde masalah. Wak bagitau nanti Wak akan usahakan kereta untuk Ayong tapi Ayong taknak cakap pasal tu. Lepas habis bincang Ayong marah Wak pasal kapten. Wak cakap kapten tu dah bercerai dengan isteri dia ni apahal ada 2 isteri pulak. Wak cakap umur kapten 46 tahun tapi kapten cakap 56 tahun.

    Wak cakap betul la kapten tu ada isteri, yang bercerai tu isteri kedua. Memang la yang bercerai tu isteri kedua tapi hari tu Wak cakap lain. Wak cakap dia betul-betul tak ingat apa dia cakap tapi dia cuma nak yang terbaik untuk Ayong. Masa ni Ayong dah nampak Wak cuba untuk tak cari gaduh dengan Ayong. Wak taknak Ayong meradang. Wak pun mintak maaf kalau dia ada tersalah cakap. Wak cakap kapten sekarang kat KL ambik laptop. Ayong faham la tu, dia ambik laptop Ayong. Laptop tu laptop lama cuma dia hantar kedai nak bagi elok sikit.

    Masa ni dah kira penentu dah. Ayong memang dah bayangkan yang Ayong akan mula bekerja uruskan homestay dengan Wak sepenuhnya bermula Mac 2023. Habis je kontrak kerja Ayong sekarang terus Ayong ada kerja baru. Sebenarnya jarak tempat kerja sekarang dengan homestay tu sekitar 5 minit je. Tempat tu memang bersebelahan. Cuma yela, Wak ni dia teruja nak tengok Ayong ada kereta jadi itu jela modal yang dia jual bila nak cakap pasal kerja. Padahal Ayong sikitpun tak heran. Ayong nak beli atas usaha dan titik peluh Ayong sendiri.


Tiberrr

    Esok tu kapten wasap Ayong. Ayong tau dia nak ajak jumpa. Ayong reply lambat-lambat. Dah dia kerap ajak jumpa bosan jugak. Tahu la dia sunyi tapi Ayong ni tak suka diganggu. Sebetulnya Ayong dah tak berminat pasal laptop tu sejak kapten macam nak kawal hal peribadi Ayong. Takde laptop pun takpe la. Petang tu bila Ayong reply dia macam dah takde mood. Esoknya Wak pulak wasap Ayong. Wak tanya ada ke kapten wasap Ayong, selalunya berapa lama Ayong ambik masa untuk reply wasap kapten. Ayong pun bagitau la keadaan sebenar.

    Wak pun mula la dengan ceramah bisnes dia. Dia kata kalau reply lambat nanti pelanggan dah tak berminat. Wak cakap kapten pun persoalkan hal yang sama. Kapten kata boleh ke Ayong uruskan bisnes kalau reply pun lambat. Ohhh okay. Ayong pun jujur jela keadaan sebenar. Ayong cakap sebenarnya Ayong tak selesa bila kapten asyik ajak jumpa. Ayong cakap Ayong tak berminat dengan semua tu. Ayong cuma nak kerja je. Wak pun terima penjelasan Ayong dan mintak Ayong abaikan apa yang dah berlaku.

    Lepas dari hari tu kapten takde wasap Ayong lagi dah. Bila difikirkan balik Ayong rasa sebenarnya tak patut Ayong terima tawaran tu. Ayong kena hadap diorang ni selalu. Ayong bukannya tak pernah koyak dengan Wak. Sekarang ni tiba-tiba nak kena jaga perasaan orang lain pulak. Suami orang pulak tu. Kisah ke Ayong dengan suami orang? Peduli apa dia kaya raya sekalipun. Sekalipun dia bujang tapi kalau asyik nak mintak kita layan kesunyian dia baik tak payah. Banyak lagi benda lain nak dibuat. Jadi Ayong tolak tawaran tu.

Saturday 24 December 2022

Pelawaan

    Kali kedua Wak ajak jumpa sebab katanya nak biasakan Ayong bawak kereta. Masa ni kapten pun ada sekali tapi dia nak ke Langkawi. Jadi Ayong dengan Wak hantar dia pergi airport lepas tu Wak kata kapten suruh tunjukkan tapak projek diorang kat Ayong. Elok-elok taknak keluar berdua tak pasal dah keluar berdua dengan Wak. Mula-mula Wak bawak Ayong tengok tapak homestay diorang kat Kampung Jijan, Nilai. Wak mintak cadangan Ayong kalau ada apa-apa nak tambah pasal homestay tu. Wak kata kapten nak bagi homestay tu kat Wak untuk diuruskan tapi Wak tak pandai pengurusan. Jadi Wak ajak Ayong untuk uruskan homestay tu.

    Lepas tu Wak bawak Ayong tengok tapak projek perumahan kat area Dengkil. Masih dalam pembinaan. Untuk projek ni pun Wak ada tanya kalau-kalau Ayong berminat nak jual beberapa unit rumah tapi awal-awal Ayong tolak. Sekejap je kat Dengkil tu. Ayong ajak balik sebab dah tak selesa. Sampai je Nilai Wak ajak makan Ayong pun okay jela dah orang nak belanja. Wak tanya lagi Ayong suka kereta apa. Wak cakap kalau Ayong setuju je untuk bekerjasama dengan Wak uruskan homestay tu, Wak boleh terus cakap dengan kapten supaya belikan Ayong kereta. Pulak dah Wak ni. Orang nak cakap pasal kerja, dia tak habis-habis pasal kereta.


Kapten

    Ayong cakap benda-benda macam ni kena la fikir dulu. Lepas beberapa hari kapten pulak wasap Ayong ajak jumpa. Dia kata ada benda nak bagi. Ni tak lain tak bukan mesti nak bagi coklat, yela baru balik Langkawi kan. Emm...betul la tu, memang coklat pun. Masa jumpa ni kat kedai makan area rumah je. Ingatkan Wak pun ada la lepak sekali, rupanya Wak tunjuk muka kejap je. Lepas dah duduk berdua tu kapten ajak Ayong pergi KL tengok showroom kereta. Dia cakap honda ada buat showroom kereta baru, jomlah. Boleh shopping-shopping sekali kat sana. Ayong terfikir dia ni kalau kenal dengan perempuan, memang ajar kemewahan ke?

    Disebabkab Ayong tak berminat Ayong tolak la pelawaan dia tu. Kalau nak terima pun terima tawaran kerja je. Nak lebih dari tu tak berminat la. Bukan tak suka duit tapi Ayong lagi suka kalau orang yang Ayong sayang yang belanja semua tu. Esok tu kapten ajak jumpa lagi. Sebab balik kerja perut lapar dan dah tau kat rumah takde makanan, Ayong okay kan je. Hari tu dia luahkan pasal kehidupan dan hubungan dia pulak. Dia macam bagi hint perasaan dia dengan Ayong. Ayong cakap la sape-sape tak kisah yang penting bukan suami orang. Dia tanya kenapa tak boleh suami orang, Ayong cakap sebab dah jadi suami orang la.

    Lepas tu kapten pun cerita la pasal dia. Ternyata Wak ni memang ada jugak menipunya ya. Wak cakap kapten tu umur dia 46, rupanya 56 tahun. Wak cakap isteri dah bercerai. Ya betul la tu. Masalahnya yang bercerai tu isteri nombor 2! Isteri nombor 1 elok je sihat lagi kat kampung tu. Cuma isteri yang kedua ni dah bercerai 2x. Sekarang masih lagi isteri kapten dan tengah dalam ura-ura nak ke talak 3. Isteri kedua ni umurnya baru 36 tahun. Staff kat syarikat dia. Ohh...bos kahwin dengan staff rupanya. Mengikut dari cerita kapten, isterinya tu boros berbelanja. Ahhh, mesti kapten jugak yang ajar tu.

    Haihhh...serabut jugak ye. Kaya berharta pun kena tinggal? Kapten ada tunjuk wasap isteri kedua dia mintak dilepaskan dan kapten tengah tahan diri sebab kali ni kalau dia lepaskan bermakna dia dah takde peluang nak rujuk balik dengan isterinya tu. Kapten mintak pendapat Ayong sebagai seorang perempuan tapi Ayong takde idea. Ayong cuma dapat rasa yang perempuan tu nak kebebesan. Sebab masa Ayong lepak dengan kapten Ayong ada nampak sikap suka mengawal dia tu. Masa tu hujan baru turun renyai tapi Ayong dah biasa redah. Kapten tak bagi balik. Dia cakap kalau isteri saya ni, saya tak bagi bawak motor.

Sunday 18 December 2022

Jawapan Istikharah

    Penat la kan asyik kenal dengan orang baru. Nak kena mulakan balik apa yang kita dah tamatkan dengan orang lain. Tapi dalam hal ni, Ayong tak tamatkan hubungan dengan hamba Allah tu. Dia ada je dengan Ayong cuma sikap dia tu yang buat Ayong tak yakin dengan dia. Sibuk takde masalah. Tapi yela, asyik hilang tak bagitau pastu tak dapat nak jejak. Orang lain pun kahwin jugak tapi takde la sampai hilang dari radar macam dia tu. Kalau bujang, jangan buat orang fikir bukan-bukan. Bukan Ayong tak kawal fikiran ni tapi masa lalu yang buat Ayong terlebih berhati-hati. Dia bukannya tak tahu, dia tahu.

    Disebabkan dia ni jenis suka hilang dari radar dan hubungan tu pulak kadang baik kadang tak jadi Ayong dah mula untuk tak letakkan harapan dalam hubungan ni. Masa ni Ayong dah malas nak cari orang lain. Dah malas nak mulakan balik. Walaupun Wak suruh kawan dengan kapten yang dah ada depan mata tu pun tetap je Ayong malas. Nak cakap pasal lain okay je, pasal hati dan perasaan memang tidak la. Jadi untuk hubungan seterusnya Ayong cuma teruskan apa yang ada je. Tapi Ayong ada tetapkan matlamat jugak. Kalau sampai hujung tahun ni hubungan tu masih sama je Ayong dah nekad nak lepaskan je hubungan ni walaupun takde orang lain.

Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli

    Selama ni Ayong buat istikharah tapi tak dapat jawapan. Kadang Ayong tertanya-tanya, apa sebenarnya petunjuk tu. Mungkin Allah dah bagi tapi Ayong tak nampak. Puas la Ayong godek ceramah agama pasal istikharah kat youtube tu. Akhirnya jumpa la satu video ni ceramah daripada ustaz Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli. Ustaz cakap, ada orang buat istikharah tapi rasa macam biasa je macam takde apa-apa petunjuk. Ustaz kata kalau macam tu teruskan. Kadang-kadang petunjuk ni kat depan. Ada orang terus jadi. Dia buat istikharah tapi takda apa-apa petunjuk, dia teruskan masuk meminang dan hubungan tu terus sampai kahwin.

    Jadi tahu la Ayong itu jawapannya. Ayong cuma perlu teruskan je dengan hamba Allah yang dah kantoi menipu ni, yang selalu hilang dari radar ni, yang selalu tanya tak berjawab dan selalu macam-macam la. Ya, teruskan sebab itulah petunjuknya. Untuk pujuk hati sendiri Ayong pun fikir la mungkin dia ada sebab munasabah kenapa dia buat macam tu tapi tetap je takde orang yang suka diri dia kena tipu. Jadi sekarang ni, Ayong teruskan dengan dia dan berhenti cari orang lain. Tapi nekad tetap nekad la kan. Kalau banyak makan hati je dengan penipuan dia macam mana nak bertahan. Kita tengok sampai hujung tahun ni macam mana.

Monday 12 December 2022

Berjumpa

    Lepas 2 minggu akhirnya Ayong jumpa la dengan pemilik laptop tu. Jumpa kat As-Salam je tapi yang ada aircond la. Mula-mula jumpa tu dia baru balik dari Langkawi sebab ada projek kat sana. Orang panggil dia Kapten je sebab dulu dia Kapten jadi gelaran tu melekat sampai sekarang. Pertama kali jumpa sembang santai je. Itulah kali pertama Ayong jumpa Wak lepas sekian lama tak jumpa. Gaya memang dah berubah Wak ni. Patut la nak kahwin sangat. Kapten tanya la nak buat apa dengan laptop tu, Ayong cakap la nak menulis. Oo...pastu mesti la dia tanya nak tulis apa, buku ke? InshaAllah tengah fikirkan.

    Pastu sembang seterusnya level bisnes. Dia tanya Ayong minat bisnes tak. Kapten tanya Ayong paling suka bisnes apa. Kapten cakap dia tengah nak cari orang untuk uruskan homestay dia. Kapten pun bercadang nak bukak restoran ala-ala KFC. Setakat ni resepi semua dah ada, modal memang jangan cakap la, bukan masalah besar. Kapten cakap Wak ada bagitau yang Ayong bukan orang yang materialistik dan kapten memang tengah cari orang yang macam tu. Sembang kali pertama ni sebenarnya lebih pada sembang bisnes je. Takde nak sembang pasal nak berkawan ke apa. Wak pun tak banyak bercakap.

    Sebelum balik sempat nak tukar nombor phone dengan kapten. Kapten ada bagi cenderamata dari Langkawi. Belum tengok lagi dah boleh agak dah ni mesti coklat. Masa nak bayar Wak dengan kapten berpecah. Ayong pilih untuk ikut Wak. Ayong tanya la memang kalau keluar makan kapten ke yang bayar. Wak cakap mesti la dah kapten yang berduit buat apa Wak nak keluar duit. Sebelum pergi kat kereta kapten bagitau yang dia nak pergi ke toilet sekejap. Wak pun apa lagi, masa berdua dengan Ayong sempat lagi dia promote kekayaan kawan dia si kapten tu. Macam-macam dicakapnya pasal kapten. Menyempat lagi Wak ni.

    Wak sempat lagi bagitau Ayong dia suruh Ayong terima tawaran kapten tu. Wak bagitau kapten orang yang berpengaruh. Banyak peluang boleh dapat dengan dia. Boleh belajar perkara baru jugak. Wak cakap kapten ni baik orangnya suka tolong orang. Ayong boleh kerja dengan dia pastu nanti kapten boleh belikan kereta. Wak suruh mintak kereta yang bagus-bagus. Pulakkk...Wak ni baru je kapten bagitau Ayong bukan materialistik. Wak cakap nanti Wak la yang tolong ejaskan pasal kereta tu. Ayong duduk je diam-diam. Wak suruh Ayong fikir dulu masak-masak nanti Wak nak tau keputusan.

Tuesday 6 December 2022

Laptop

     Baru-baru ni ada kawan lama dalam RELA yang tanya khabar Ayong. Katanya dia banyak projek sekarang. Dia ni memang berusia la orangnya. Ayong panggil dia Wak, biasa la orang jawa. Wak tanya Ayong ada tak kawan-kawan Ayong yang nak kerja atau Ayong nak tak kerja dengan dia. Wak ada bagitau kalau Ayong sanggup berhenti kerja untuk kerja dengan dengan dia, nanti dia belikan kereta. Wak cakap dia nak bukak restauran makanan segera ala-ala KFC tu. Ayong pelik jugak betul ke kawan aku ni. Tak lama lepas tu Wak luahkan keinginan dia nak beristeri lagi satu, dia mintak Ayong carikan dia nombor 2. Hellooo? Ayong sendiri pun belum kahwin, nak fikirkan jodoh orang? Nombor 2 pulak tu, terus malas nak layan dia.

         **************************************************

    Beberapa bulan kerja pejabat Ayong dah mula selesa flow bekerja. Kadang sibuk kadang tak sibuk. Bila ada kerja, sibuk tu melampau sampai nak tengok phone pun tak sempat. Kadang tu bila takde kerja, sampai tak tahu nak buat apa. Ayong memang dah biasa bekerja sebelum ni. Dah biasa bila takde kerja tu, cari la apa-apa pasal kerja yang boleh dibuat. Susun fail ke, kemas-kemas ke. Kemaskini apa-apa yang patut ke. Setiap hari-hari yang takde kerja ada je perkara untuk Ayong buat-buat sibuk sampai satu tahap tu Ayong betul-betul dah takde kerja. Jadi Ayong pun terpanggil la untuk bukak semula blog yang dah bersawang ni dan mula menulis kembali. Ayong ni sejenis yang bila dah mula menulis memang susah nak berhenti.

    Lepas satu ayat, mesti nak sambung lagi. Lepas habis satu entri, meronta-ronta nak sambung tulis entri. Tapi kat rumah takde komputer atau laptop pulak. Jadi macam mana nak dapatkan komputer atau laptop untuk diri sendiri kat rumah ni? Menulis ni seronok. Untung-untung boleh buat buku, buat duit. Idea dah ada, cuma nak kembangkan je. Bukannya nak tulis pasal diri sendiri je. Pasal lain yang bermanfaat pun banyak yang boleh ditulis. Tiba-tiba Ayong teringat kat Wak yang banyak sangat projek tu. Dia pernah kata nak belikan Ayong kereta. Tapi Ayong taknak kereta, mungkin dia boleh tolong Ayong dapatkan laptop? Ayong pun cuba hubungi dia semula. Dengan harapan boleh dapatkan sebuah laptop.

****************************************************

    Seperti yang dijangka, Wak okay je bila Ayong cari. Cuma mula-mula tu jela dia ungkit berkali-kali sebab Ayong taknak tolong dia carikan isteri nombor 2. Pastu Ayong terus potong cakap Ayong sendiri belum kahwin buat apa nak sibuk jodoh orang lain, malas nak dengar. Ayong cuma tanya laptop terpakai. Wak cakap nanti usahakan laptop tu. Pastu Wak ni dia suka jaga tepi kain orang jugak. Dia cakap dia ada kawan lelaki nak kenalkan kat Ayong. Ayong cakap Ayong serabut banyak benda nak fikir, malas nak fikir pasal tu. Wak ni mula-mula dia okay la lama-lama dia busy body. Wak asyik cakap nak jumpa nak bincang pasal bisnes. Ayong berkeras taknak jumpa berdua. Kalau nak jumpa Wak kena la bawak isteri dia sekali.


Mental Koyak

    Lepas beberapa hari Wak call Ayong balik dia kata dia dah dapat dah laptop tu. Ayong tanya harga laptop tu berapa sebab Ayong nak bayar. Wak cakap tak payah bayar ambik free je tapi tuan punya laptop tu nak jumpa Ayong. Ayong kata nak jumpa boleh je ambik budi bahasa tapi taknak la jumpa sorang. Nak Wak pun ada sekali. Wak pun okay je. Tapi Wak ni bila mula busybody dia memang merimaskan. Habis hal peribadi orang dia nak masuk campur. Wak cakap masa dia tanya kawan dia pasal laptop tu kawan dia ada la tanya-tanya sape tu yang nak laptop perempuan ke. Wak jujur jela perempuan. Wak cakap boleh tak kenal dengan kawan dia tu. Haalaamaak...ni yang malas ni. Ayong nak cancel je laptop tu tapi Wak tak bagi.

    Wak cakap dengar cakap dia. Wak lebih kenal kawan Wak tu. Ayong cakap kalau nak laptop tu kena kawan, baik tak payah. Ayong cuma tanya laptop terpakai je, taknak serabut kepala. Wak cakap takpe, jumpa je dulu. Lagipun kawan dia ni baik dan berduit. Apa je dia takde. Semua dia ada. Ayong cakap la semua ada ya, mesti isteri pun ada kan. Wak cakap dulu ada, sekarang takde. Anak-anak dah besar. Ayong tambah lagi mesti dah tua kan. Wak cakap baru 46 tahun. Ayong dah mula rimas ni. Kang dah jumpa dia tersuka tapi Ayong tak suka macam mana, kan dah jadi masalah. Wak cakap takpe kawan je dulu, Wak lelaki Wak faham hati lelaki. Lagipun kawan dia dah pernah bercerai mesti dia tau nak uruskan hal-hal perasaan ni.

    Terus-terang la, Ayong memang bantah gila-gila hal ni. Ayong tak suka orang masuk campur dan sibuk-sibuk nak uruskan hal peribadi Ayong lebih-lebih lagi soal jodoh. Ayong mengamuk teruk dengan Wak hari tu. Wak tetap berkeras nak pertahankan pendirian dia nak suruh Ayong kawan dengan pilihan dia. Dia cakap kawan dia ada segala-galanya. Kalau Ayong kahwin dengan kawan dia Ayong dijamin boleh hidup senang. Wak siap promote kawan dia ada rumah besar, kereta dekat 10 bijik. Bisnes maju dan selalu tolong orang. Wak cakap Ayong kawan dia, lelaki tu pun kawan dia. Mesti la dia nak kenalkan dengan orang yang baik-baik untuk kawan dia. Serius la mental Ayong dah koyak. Seminggu lebih fikiran Ayong terganggu pasal hal ni je.