Saturday, 30 April 2022

Abah Kritikal

    Sedih

    Sebelum abah jatuh sakit, abah bekerja sebagai Pemandu Teksi dan mak pula bertugas sebagai Pengawal Keselamatan. Adik lelaki dengan hati yang terbuka menawarkan diri untuk tunggu abah di hospital memandangkan dia sedang cuti. Kami semua pulang dan pada malam tu adik lelaki bagitau bahawa abah perlu dipindahkan ke wad lain. Esoknya, hari Ahad Ayong bekerja seperti biasa dan pusat tuisyen hanya buka pada sebelah pagi. Habis kerja waktu tengahari Ayong terus pergi hospital guna KTM dan grabcar.

    Sesampainya di hospital, ramai saudara-mara datang nak melawat abah. Ayong nampak mata adik perempuan merah sebab menangis. Ketika ini hanya dua orang saja dibenarkan untuk masuk dalam satu masa. Ayong ditemani abang sepupu masuk nak tengok abah. Sampai je Ayong ke katil abah terus airmata bergenang. Hiba dan pilu melihat keadaan abah. Sedaya upaya Ayong tahan airmata dari terus tumpah. Abang sepupu faham keadaan tu, dia bawak Ayong keluar dan terus tumpah airmata Ayong. Kali ni tangisan lebih teruk dari semalam.

    Masa ni Ayong masih solat macam biasa walaupun ada agnostik yang tersisa. Sejak Ayong bekerja di pusat tuisyen lagi, Ayong solat tanpa pertikai apa-apa. Tetap saja solat walaupun keyakinan Ayong rapuh. Menjelang maghrib, Ayong bagi yang lain solat dahulu. Saudara-mara semuanya dah balik. Tinggal kami sekeluarga saja di hospital. Selesainya saja solat maghrib, Ayong tengok handphone ada misscall dan wasap dari mak mengatakan abah sedang kritikal dan telah dipindahkan ke unit rawatan rapi. (ICU)


Sumber : Foursquare


Masuk ICU

    Ayong call mak dan Ayong dengar suara mak berubah. Ayong bergegas keluar surau dan sesampai je Ayong di sana, Ayong lihat wajah ahli keluarga Ayong semuanya dalam keadaan panik. Tak lama kemudian doktor keluar bagitau keadaan abah. Sungguh...inilah keadaan yang paling menakutkan. Doktor bagitau keadaan abah tenat. Abah perlukan alat bantuan pernafasan dan perlu ditebuk pada bahagian leher jika perlu. Sekiranya tidak dibantu, abah akan terus tenat dan nazak. Kami sudah sedia maklum perangai abah.

    Kami tahu abah takkan setuju. Tambahan lagi doktor bagitau alat bantuan pernafasan tu mungkin akan memberi komplikasi pada pesakit. Walaupun pada waktu tu keputusan di tangan kami tetap saja kami fikirkan pendirian abah. Kami keliru. Doktor dah masuk dalam sementara beri masa untuk kami berfikir. Masa ni kami semua menunggu di luar, tak seorang pun yang dibenarkan masuk. Keadaan abah sangat-sangat kritikal. Adik perempuan menangis semahunya, berkali-kali dia ulang pendirian abah.

"abah takkan setuju, abah takkan setuju kalau kita buat macam tu kat dia."

    Tak lama kemudian doktor datang semula dan tanya keputusan kami sekeluarga. Dalam keadaan acuh tak acuh, kami mengatakan tak setuju dan doktor pun beredar. Kami tak setuju bukannya sebab bersangka buruk tentang ilmu perubatan, tapi memikirkan dari pendirian abah sendiri. Kalau ikutkan hati, awal-awal lagi kami dah setuju. Doktor buatlah apa saja sekalipun, kami hanya mahukan abah selamat. Malam tu cuma Ayong dan adik lelaki saja tunggu di luar ICU. Mujurlah ada tempat tinggal yang boleh bermalam berdekatan hospital ni.

    Kami dah memaklumkan pada saudara-mara dan kawan-kawan abah mengenai keadaan abah. Tak sampai satu jam ada seorang lagi doktor lain keluar, dia bertanya kenapa kami buat keputusan macam tu. Kemudian doktor tu pun terangkan lebih mendalam lagi. Kali ni lebih kepada psikologi. Walaupun tak la lama tapi padat sekaligus mengubah keputusan kami untuk bersetuju abah diselamatkan dengan apa cara sekalipun yang doktor lakukan. Abah tak setuju takpe, yang penting kita cuba untuk tolong abah.

"Kadang-kadang pendirian boleh berubah di saat dia memerlukan. Kita tak tahu apa yang dia rasa sekarang. Sebenarnya bapa kamu sedang berjuang dan perlu dibantu. Mungkin saja dia memang perlukan bantuan tapi dia tak mampu nak bersuara. Kita kena bantu abah dalam perjuangan ni."

    Terus kami call mak dengan adik perempuan bagitau apa yang baru kami terima. Tapi doktor masih belum buat apa-apa lagi sebab kami perlu bincang adik-beradik jugak. Doktor tu kata kejap lagi dia akan datang semula. Tunggu punya tunggu, doktor tak keluar-keluar. Nak masuk tak boleh pulak. Kami semua dah setuju tapi tak dapat nak bagitau doktor. Macam mana la agaknya keadaan abah kat dalam tu. Tak lama kemudian adik lelaki minta nak ke surau dahulu sementara Ayong tunggu di luar wad. Waktu tu sebelum jam tengah malam.


Bersambung : Abah Tiba-Tiba Stabil

Sunday, 24 April 2022

Abah Jatuh Sakit

 April 2018

Status wasap & instagram 


    Ayong ingat lagi, kejadian ni berlaku hari sabtu di mana Ayong masuk kerja jam 12 tengahari sebab murid-murid mula tuisyen jam 2 petang. Macam biasa abah hantar Ayong pergi kerja. Masa ni adik lelaki belajar tahun kedua di UiTM Puncak Perdana. Sepatutnya dia tak balik cuti tapi mungkin dah tertulis, dia tergerak hati nak balik dan ikut abah hantar Ayong pergi kerja. Itu bukan kebiasaan dia sebab selalunya dia takkan ikut abah hantar Ayong pergi kerja tapi hari tu tak tahu apa mimpi dia ikut pulak. Sebelum turun kereta macam biasa Ayong salam tangan abah, keluar kereta dan melambai kat abah sampai kereta jalan. Memang selalu macam tu sejak dari sekolah lagi sebab dah biasa buat. Kadang-kadang kawan pun ikut melambai sekali.

    Dalam 2 jam lepas tu tengok wasap family adik kata abah sakit dan Ayong boleh rasa keadaan masa tu cemas. Ayong terus call mak, belum sempat Ayong tanya apa-apa mak suruh balik naik grabcar. Mak bagitau abah kena hantar ke hospital dengan ambulance. Bila dengar perkataan ambulance Ayong dah cemas, terus call boss bagitau kena balik. Masa ni, adik perempuan dengan suami dia otw dari Damansara. Kat rumah ada ibu saudara (adik abah) teman mak dan kami ke hospital sama-sama. Abah masih lagi dalam zon merah. Masa ni nampak muka adik lelaki resah gelisah sebab hanya dia yang melihat keadaan abah waktu tu. Hanya dia je yang melihat muka abah berubah senget ke sebelah kiri seolah abah akan lumpuh.

    Rupanya abah kena serangan jantung dan nyaris kemalangan di simpang tiga pekan Nilai. Dah la tepi jalan tu sungai. Kata adik lelaki, abah tiba-tiba hilang kawalan. Adik masa tu takde lesen. Dia berusaha tahan stereng kereta dari tersasar ke tepi. Lepas berjaya hentikan kereta, dia sedaya upaya pindahkan abah ke sebelah dan bertawakal pandu kereta balik rumah. Itulah kali pertama dia memandu sendiri, menggigil dia kawal kereta tu hanya Allah yang tahu. Katanya, abah pernah ajar memandu tapi sekejap saja itupun hanya cuba-cuba. Abah pernah ajar Ayong juga. Memang sekejap saja. Maklum la ajar memandu pun curi-curi. Tapi dengan pengalaman tu la, adik lelaki kuatkan diri untuk memandu kereta tu balik.

    Beberapa jam selepas tu abah pun keluar dari zon merah. Ayong sedih tengok abah. Adik perempuan sedang pregnant masa tu dah mengalir airmata. Pihak hospital tolak katil abah ke wad. Abah terbaring lemah. Itulah kali pertama, kami lihat abah dalam keadaan sangat tak berdaya. Masa Ayong taip cerita ni pun, bergenang airmata. Tak lama kemudian beberapa kawan rapat abah sampai. Kami bagi peluang abah dengan kawan-kawan dia sebab kami tahu, itulah kawan susah senang abah. Melihat layanan kawan-kawan abah pun kami dah rasa terubat. Airmata pun berhenti. Abah masih boleh berbual walaupun dalam keadaan lemah. Mereka memang punya semangat setia kawan yang kuat.